Radikal aksara Cina

Radikal (dari perkataan bahasa Latin radix yang bermaksud "akar") ialah akar semantik (iaitu bahagian yang membawa erti) bagi sesuatu perkataan yang berimbuhan. Ahli-ahli sinologi Barat terawal meminjam istilah ini untuk mengertikan komponen semantik aksara Cina (Hanzi). Kemudian, istilah ini dipinjam untuk satu lagi maksud, iaitu 部首 (Pinyin: bùshǒu, Jepun bushu, Korea busu), atau secara harfiahnya "pengepala bahagian", di bawah mana sesuatu aksara disenaraikan dalam kamus. Contohnya, dalam aksara 媽 mā atau “ibu”, bahagian kiri 女 (disebut nǚ dalam bahasa Mandarin) merupakan komponen semantik dan juga pengepala bahagian yang menggolongkan aksara ini dalam kamus. Namun, bukan semua pengepala bahagian berfungsi sebagai komponen semantik dalam aksara tertentu; ada yang berasaskan foentik, dan ada juga yang dipilih semata-mata untuk kesenangan dan tidak memainkan peranan semantik mahupun foentik. Kedua-dua erti “radikal” ini tidak sama sekali, namun boleh serentak dalam contoh tertentu, lalu menimbulkan kekeliruan. (Untuk penjelasan, kedua-dua istilah komponen semantik dan pengepala bahagian digunakan di sini.)Komponen penentu dalam tulisan kuneiform dan hieroglif Mesir juga serupa fungsinya.Komponen aksara Cina, baik semantik mahupuh fonetik peranannya, merupakan binaan asas untuk semua Hanzi Cina dan juga bentuk-bentuk terbitan Kanji Jepun, Hanja Korea, dan Chữ nôm dan Chữ nho Vietnam. Semenjak kamus Kangxi tahun 1716 diindekskan menggunakan 214 pengepala bahagian Zìhuì, senarai standardnya tidak pernah berubah. Pengepala bahagian merupakan asas penting untuk penyusunan dan penggunaan kamus-kamus Hanzi, Kanji dan Hanja.